Wednesday, December 2, 2009

Jangan Mudah Menuduh Orang Wahabi

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Sumber: http://drmaza.com


Ketika saya dihubungi agar mengulas tentang satu gerakan yang suka menuduh orang lain wahhabi, saya pada mulanya malas nak campur. Di kala negara sedang gelut dengan krisis yang berbagai, ada juga puak yang sibuk wahabi-mewahabi orang lain. Apatah lagi, saya pun dah lama tidak berfikir tentang isu tersebut kerana sibuk dengan isu-isu yang lebih bersifat nasional dan sejagat.

Sebenarnnya, di negara kita kini sedang muncul satu golongan yang menyembunyikan identitinya. Mereka ini jika di negara Arab digelar Ahbash. Puak ini berpusat di Lubnan dan mempengaruhi sesetengah pelajar kita di sana juga yang di tempat lain. Perkataan ahbash merujuk kepada pengasas dan pengikut mereka yang berketurunan Habsyi Afrika. Guru mereka ialah Abdullah al-Harari. Seorang yang terkenal suka mengkafirkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Dia sentiasa mendakwa bahawa hanya dirinya Ahlussunnah wal Jamaah dan bermazhab Syafi’i. Sesiapa yang tidak bersependapat dengannya itu sesat, atau kafir atau wahhabi. Hasilnya berlakulah pembunuhan dan rusuhan. Mereka telah mengkafirkan ulama-ulama terdahulu seperti al-Imam Ibn Taimiyyah, al-Imam Ibn Qayyim, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Ibn Kathir, Muhammad bin Abdul Wahhab dan lain-lain. Ulama semasa yang dikafirkan oleh mereka termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Said Ramadhan al-Buthi, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb, al-Albani, Mufti Lubnan Hasan Khalid lain-lain. Sesiapa yang berminat mereka boleh layari http://bankahbash.blogspot.com untuk mengetahui sikap ektremis golongan ini.

Di Malaysia, mereka mula menyerap dalam sesetengah pihak berkuasa agama di negeri-negeri tertentu. Mereka menganjurkan program-program atas nama Ahlussunnah wal Jamaah. Isi kandungannya adalah menuduh sesiapa yang tidak sebulu dengan mereka sebagai wahhabi. Slogan mereka sama, sesiapa yang memberikan pendapat yang tidak sama dengan mereka maka dia sesat atau wahhabi. Cara kebetulan pula pandangan sesetengah golongan pembaharuan memang ada perbezaan dengan pandangan agamawan tempatan. Namun, itu bukan kesalahan dan baru. Dahulu pun dalam negara ini ada gerakan kaum muda seperti Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi, Burhanudin al-Helmi, Abu Bakar al-Baqir dan selain mereka yang memang diiktiraf sumbangan mereka dalam pembaharuan dan kemerdekaan. Walaupun ada tentangan terhadap kaum muda dari kelompok konservertif tradisionalis melayu, namun buku-buku sejarah yang jujur terus mengiktiraf sumbangan kaum muda kepada pendidikan, perjuangan hak wanita, kemajuan pemikiran, pembebasan dari kejumudan dan seumpamanya.

Namun hari ini puak Ahbash yang muncul dan menyelinap masuk dalam masyarakat kita cuba membangkit perkara-perkara perbezaan ini sehingga ke peringkat kafir mengkafir. Kata mereka golongan pembaharuan menimbulkan pecah belah dalam masyarakat. Padahal jika mereka jujur, perpecahan yang sebenar dalam masyarakat melayu sekarang adalah dalam isu-isu politik, bukan isu kenduri arwah, tol orang mati dan joget tarekat yang dipertahankan oleh mereka. Untuk menarik minat masyarakat, mereka menuduh sesiapa sahaja yang memberikan pandangan berbeza itu sebagai wahhabi dan ektremis. Padahal, golongan Ahbash ini menyimpan racun mereka dan menunggu hari untuk dikeluarkan. Tidak hairan jika beberapa pembunuhan di Lubnan dikaitkan dengan mereka dan ramai tokoh yang menganggap mereka mempunyai hubungan dengan CIA. Sebab itu kita melihat pendekatan Ahbash ini ada ala-ala Amerika. Jika Amerika yang mengganas di negara orang, menuduh orang lain pengganas, demikian puak Ahbash ini yang suka mengkafirkan orang lain, tetapi menuduh orang lain pula mengkafirkan dan menumpahkan darah. Maka tidaklah pelik jika guru Ahbash itu digelar al-fattan atau pencetus fitnah.

Di samping, kita juga tidak menafikan, wujudkan segelintir kelompok yang menyandarkan diri kepada salafi kadang-kala ada ciri-ciri agak keras dalam berinteraksi dengan amalan tradisi tempatan atau menimbul beberapa pendapat yang tidak wajar dibesar-besarkan. Saya sendiri kurang bersetuju untuk terlalu bertegas dalam perkara-perkara yang diizinkan syarak untuk kita berbeza pendapat. Namun, kesilapan mereka itu hanya pada pendekatan dan pemilihan keutamaan. Tidak sepatutnya untuk mereka dihukum sesat atau dikafirkan oleh kelompok Ahbash ini.

Namun, jarum Ahbash ini nampaknya ada juga yang terpengaruh lalu menuduh sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan pandangan mereka sebagai wahhabi. Padahal, jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai ‘wahabi’; apa itu wahabi?. Mereka pun tak pasti dan berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga tidak qunut subuh. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi? Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa Allah, tahmid bermaksud Alhamd li Allah, tasbih bermaksud subhana Allah. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi yang dituduh wahhabi itu menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!!. Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Ramai yang tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.

Mungkin yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fekah yang ulung. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadis, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak tegas. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Aulawiyyat memuji Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, dengan berkata:

“Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik.
(m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir)

Juga tokoh ahli fekah terkenal, Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut:

“Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..”
(Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).

Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Ramai lagi tokoh-tokoh lain yang memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai itu patut dituduh wahabi?!!!.

Kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i tulisan tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut:

“Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya”
(1/263, Damsyik: Dar al-Qalam)

Apakah semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab:

“(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34).

Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut:

“Maka bid'ah yang tidak elok” (7/130).

Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Apabila ada yang memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “dia wahabi”. Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.
( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha).

Apakah beliau juga wahabi?!!

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi'i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata:

“Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a adalah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya. Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata –maknanya-: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya”.
(Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali).

Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya:

“adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai”
(Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr).

Tentu jika mereka masih hidup akan dituduh wahabi!

Bahkan jika al-Imam al-Syafi’i masih hidup pun mungkin dia dituduh wahhabi. Apa tidaknya dalam kitabnya al-Umm disebut:

“Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir. Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan"
(al-Syafi'i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi'i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Tidakkah itu berbeza dengan amalan orang melayu. Ada kata golongan wahhabi tidak mewajibkan terikat dengan sesuatu mazhab. Saya kata kalau begitu haramkanlah buku Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr Abd al-Karim Zaidan dan berbagai tokoh ulama antarabangsa yang lain dari disebarkan di Malaysia ini. Sebab mereka ini yang tidak mewajibkan terikat dengan satu-satu mazhab. Lihat apa kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ia bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Maka al-Quran dan al-Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang Allah ta’ala tidak wajibkan. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu”.
(Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah)

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Ramai pendakwah yang menjadi mangsa akhlak buruk ini. Kita juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai nama pihak berkuasa agama. Namun saya katakan kepada para pendakwah yang difitnah; bersabarlah. Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya. Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan.

Wahai mereka yang suka menuduh orang lain atas sentimen tanpa bukti. Berhentilah, banyak kerja lain yang patut kita buat. Jangan jumud. Sekarang dunia moden, banyak pengetahuan boleh dicari hanya dengan beberapa clik di hadapan internet. Jika kita tidak larat fikir, jangan halang orang lain mencari maklumat dan berfikir. Tunjukkan imej keistimewaan Islam itu dengan mengizin keperbagaian pemikiran hidup dalam iklim yang harmoni selagi tiada penipuan dan pengkhianatan. Dunia fakta hanya dimasuki oleh manusia yang cintakan ilmu. Bukan yang suka mengkafirkan orang tanpa sebab atau menuduh orang wahabi hanya kerana tidak berkenan di hati.

No comments: